Penolakan terhadap Wahabi


Oleh : Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaluddin Al-Razi Al-Azhari

elank cakti [elankq@gmail.com]

Isu Wahabi: Siapa Mereka dan Mengapa Mereka Ditentang?

Fenomena “Wahabi” merupakan sesuatu yang hangat diperkatakan samada di kalangan awam mahupun di kalangan para ilmuan. Adapun penulis, bukanlah dari kalangan ahli ilmu, cuma masih sekadar penuntut ilmu Islam buat masa ini. Apa yang akan ditulis oleh penulis, kebanyakkannya diambil daripada para ahli ilmu yang sempat ditemui oleh penulis, kerana penulis sedar bahawa, untuk menjadi ahli naqd (ahli ilmu yang layak mengukur betul atau salahnya sesuatu dalam agama, atau ahli kritik), maka penulis bukanlah orangnya bahkan masih belum layak.

Penulis yang masih sekadar ahli penuntut ilmu ini sekadar ingin berkongsi penilaian para ulama’ muktabar dalam isu ini, bagi tujuan kemanfaatan bersama:

Isu Wahabi sering dikaitkan dengan suatu golongan yang ekstrim (tasyaddud) dalam urusan agama. Ramai para ilmuan Islam saling mengutarakan persepsi-persepsi masing-masing mengenai golongan tersebut.

Siapakah Wahabi?

Golongan Wahabi bukanlah suatu golongan yang berdaftar di bawah sesuatu pertubuhan atau yang membawa kad pengenalan yang mengatakan diri mereka adalah wahabi dan sebagainya. Golongan Wahabi juga bukanlah suatu yang berkaitan dengan mereka yang mengaku wahabi atau tidak. Tetapi, realitinya, wahabi ini merupakan suatu penggunaan kata yang abstrak dan subjektif, dalam penggunaan masyarakat, samada di kalangan awam ataupun di kalangan para ilmuan.

Sememangnya, dari takrif “kertas” (penyelidikan berbentuk akedemik), Wahabi selalunya merujuk kepada golongan yang mendokong pemikiran Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Tetapi, dari sudut realitinya, penggunaan istilah Wahabi bukan sahaja terbatas kepada golongan yang mendokong pemikiran Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab semata-mata, bahkan ianya sering dikaitkan dengan mereka yang “terlalu keras” dalam menghukum sesuatu dalam urusan agama, dan “terlalu sempit” kaedah menggali hukum mereka, dalam perbendaharaan syariat Islam yang murni. Bahkan, ada sesetengah golongan yang turut dikaitkan dengan “bersikap keras” (tasyaddud) dalam masalah aqidah, terutamanya dalam membincangkan tentang sifat-sifat mutasyabihat (kesamaran) Allah s.w.t. yang termaktub dalam wahyu Ilahi s.w.t.

Namun, pada hari ini, didapati bahawa, hatta kebanyakkan dari kalangan pendokong pemikiran dan manhaj Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab sendiri tidak mengaku sebagai Wahabi, bahkan tidak mengiktiraf istilah tersebut juga, apatah lagi untuk menisbahkan diri mereka kepadanya, atau dinisbahkan kepada istilah tersebut.

Bagi mereka, mereka bukanlah sekadar penyokong dan pendokong pemikiran Sheikh Muhammad Abdul Wahab (Wahabi) semata-mata, bahkan mereka merupakan pendokong pemikiran dan manhaj salafus soleh[1]. Oleh itu, mereka bukanlah sekadar Wahabi, tetapi mereka adalah Salafi, menurut mereka.

Dari Wahabi Ke Salafi

Sepertimana yang dibincangkan sebelum ini, Salafi atau Wahabi bukanlah berkaitan dengan suatu golongan yang berdaftar sebagai ahli, atau merujuk kepada golongan yang memperjuangkan seseorang tokoh semata-mata dan sebagainya, tetapi ianya lebih merujuk kepada suatu pemikiran, yang mana, jika seseorang berfikir sedemikian, dia akan dikatakan sebagai Wahabi atau Salafi.

Hatta, ada di kalangan mereka yang mengaku bebas dalam berijtihad sekalipun, takkala mempunyai pemikiran yang dikatakan “terlalu keras dalam menghukum” (tasyaddud), dan “terlalu sempit kaedah ijtihad mereka”, dan sebagainya, turut dilebel sebagai golongan Wahabi atau salafi.

Ada juga yang mengaku Salafi, tetapi tidak mengaku Wahabi kerana mereka mendakwa, mereka mendokong manhaj pemikiran salaf, bukan sekadar mendokong pemikiran Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab walaupun, dalam masa yang sama, mereka menyokong Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab dan golongan Wahabi, kerana, menurut mereka, golongan Wahabi juga mempunyai manhaj yang sama dengan mereka, iaitu mendokong manhaj salafus soleh.

Mengaku atau tidak, dilabel sebagai Wahabi atau tidak, atau sekadar mengaku salafi, bukan Wahabi, dan sebagainya, itu bukan suatu masalah yang besar, bahkan bukan bukanlah suatu masalah sekalipun. Apa yang penting, apa yang sebenarnya ditentang oleh golongan yang dikatakan kontra-Wahabi bukanlah mereka yang bernama Wahabi, atau mengaku Salafi Wahabi, tetapi apa yang mereka tentang adalah, fahaman Salafi Wahabi tersebut itu sendiri, seperti yang disebutkan sebelum ini, dan akan dijelaskan selepas ini, insya Allah.

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, makna perkataan Wahabi Salafi dari sudut realitinya, atau secara umumnya, sering merujuk kepada sebuah kaedeh berfikir yang “terlalu keras” (tasyadud) atau tertutup/statik (jumud), samada dalam masalah aqidah mahupun dalam masalah fiqh. Kalau anda merasakan atau mengaku salafi kerana mengaku sebagai pembela salafus soleh, namun tidak bersifat dengan sifat-sifat berkenaan, maka anda bukanlah sasaran tentangan golongan anti-Wahabi (yang merupakan golongan majoriti umat Islam sehingga hari ini, khususnya di kalangan para ulama’ Islam), selagimana anda tidak bersikap menyalahkan semua orang yang tidak sependapat dengannya dalam masalah furu’[2] dan ijtihadi[3].

——————————————————————————–

[1] Salafus soleh: Orang-orang Islam yang hidup dalam lingkungan masa dari abad pertama hijrah, sehinggalah abad ketiga hijrah

[2] Furu’: malasah-masalah cabang, bukan masalah-masalah dasar atau utama

[3] Masalah ijtihadi: Ia merujuk kepada permasalahan-permasalahan yang dibincangkan, yang mana, sumber perbincangan tersebut adalah dari nas-nas (dalil) yang tidak jelas maknanya (dzonni ad-dilalah) dan sebagainya

%d blogger menyukai ini: